Majlis Raja-Raja Konsep Raja Berperlembagaan di Malaysia

Majlis Raja-Raja ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1948 seiring dengan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu. Majlis Raja-Raja merupakan tempat bagi semua Raja dan Yang Dipertua Negeri bertemu dan berbincang. Menurut Perkara 38(1) Perlembagaan Persekutuan, Majils Raja-Raja adalah ditubuhkan mengikut peruntukan dalam jadual kelima.  

Mengikut seksyen 1, Jadual Kelima Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-Raja terdiri daripada Raja-Raja dan juga Yang Dipertua negeri bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja. 

Keanggotaan Majlis Raja-Raja

Pada tahun 1948 hingga 1957, keanggotaan Majlis Raja-Raja adalah terdiri daripada 9 orang sultan. Pada 31 Ogos 1957, keanggotaan Majlis Raja- Raja mempunyai sedikit perubahan ialitu teridiri daripada 9 orang sultan dan 2 orang ketua-ketua negeri. Mulai tahun 1963 pula, keanggotaan Majlis Raja-Raja terdiri daripada 9 orang sultan dan 4 orang ketua-ketua negeri.

Fungsi dan Peranan Majlis Raja-Raja

Menurut Perkara 38(2) Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja- Raja hendaklah menjalankan fungsinya bagi:

  • memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan Jadual Ketiga;
  • mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama diperluas ke Persekutuan secara menyeluruh;
  • memperkenankan atau tidak memperkenankan apa-apa undang-undang dan membuat atau memberikan nasihat mengenai apa-apa pelantikan yang di bawah Perlembagaan ini dikehendaki diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja atau dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja;
  • melantik anggota Mahkamah Khas di bawah Fasal (1) Perkara 182 Perlembagaan Persekutuan;
  • memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum, atau meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman, di bawah Fasal (12) Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, dan boleh menimbang teliti soal-soal mengenai dasar negara (misalnya perubahan tentang dasar imigresen) dan apa-apa perkara lain yang difikirkannya patut.

Menurut Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan, tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Kuasa-kuasa Majlis Raja-Raja

Menurut Perkara 38(6) Perlembagaan Persekutuan, anggota Majlis Raja-Raja boleh bertindak menurut budi bicara mereka dalam apa-apa prosiding yang berhubungan dengan fungsi yang berikut, iaitu:

(a) memilih Yang di-Pertuan Agong atau memecat Yang di-Pertuan Agong daripada jawatannya, atau memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong

(b) memberikan nasihat mengenai apa-apa pelantikan;

(c) memperkenankan atau tidak memperkenankan apa-apa undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu Negeri atau yang menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja;

(d) mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama diperluas ke Persekutuan secara menyeluruh;

(e) pelantikan anggota Mahkamah Khas di bawah Fasal (1) Perkara 182 Perlembagaan Persekutuan; atau

(f) memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum, atau meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman, di bawah Fasal (12) Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan